Tinjauan masalah Malnutrisi

Masalah malnutrisi di kalangan kanak-kanak

Malnutrisi protein-tenaga merupakan satu masalah kesihatan awam yang agak serius di beberapa negara membangun. Kejadian kekurangan protein-tenaga yang ringan dan sederhana masih dilaporkan terutamanya di kalangan tahap sosio-ekonomi yang rendah (Arokiasamy, 1990;Osman Ali, 1991). Kajian oleh Chong et al. (1984) di kampung miskin di Kelantan, Johor, Kedah dan Perak ke atas kanak-kanak dan lahir hingga enam tahun telah mendapati ramai yang mengalami malnutrisi protein-tenaga kronik, iaitu kebantutan seramai 43%, dan malnutrisi semasa iaitu berat badan rendah seramai 37%. Kajian lain di beberapa kampung di Perak dan Kelantan mendapati sejumlah 40% kanak-kanak daripada 203 yang dikaji mempunyai kekurangan berat badan, 16% kesusutan serta 27% kanak-kanak itu terbantut. (Kandiah et al., 1989). Kajian lain yang menunjukkan kekurangan pemakanan di kalangan kanakkanak luar bandar adalah kajian yang dijalankan oleh Rechilda et al. (1986) di Kuala Selangor. Hasil kajian tersebut mendapati 32.9% kanak-kanak prasekolah mengalami kekurangan berat badan, 8.9% kebantutan, 17.7% kesusutan serta 3.8% mengalami kebantutan dan kesusutan. Kajian ini juga menunjukkan pengambilan kalori, protein, ferum dan vitamin B2 adalah rendah di kalangan kanak-kanak tersebut